LONDON – Pelumba Monster Energy Yamaha, Franco Morbidelli bimbang mengenai persiapannya menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan selepas masih dalam proses pemulihan ekoran pembedahan lutut.
Akibat pembedahan tersebut, pelumba Itali tersebut terpaksa diketepikan untuk lima pusingan perlumbaan bermula Grand Prix (GP) Belanda pada Jun hingga September lalu iaitu kira-kira empat bulan.
Bagaimanapun, selepas kembali ke litar, Morbidelli bergelut mendapatkan tunggangan terbaik apabila hanya meraih enam mata ketika bersaing dalam baki lima perlumbaan musim ini.
Morbidelli mengakui keadaannya masih belum pulih 100 peratus dan berharap mampu mendapatkan tunggangan terbaik menjelang aksi pramusim pada Februari tahun depan.
“Saya sedang berusaha untuk pulih 100 peratus daripada kecederaan dan pembedahan.
“Bukan mudah untuk menentukan bila saya boleh kembali ke puncak, tetapi saya memberikan segala-galanya dan kita akan lihat bagaimana keadaan saya pada Februari.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan diri untuk permulaan musim depan dan pasti ia bukan satu tugas yang mudah,” kata Morbidelli.
Sebelum ini, Morbidelli beraksi bersama pasukan Petronas SRT, namun dipanggil untuk bersama Fabio Quartararo untuk mewakili Yamaha. – AGENSI