MUNCUL membawa bakat sekali gus merancakkan industri muzik tanah air. Begitulah niat yang disemat dalam jiwa pendatang baharu bernama Mia Lateefa.
Tiada sesalan menceburkan diri dalam bidang seni, dia yang berdarah kacukan Melayu-New Zealand enggan berpaling.
Malah langkahnya untuk mengecap nikmat sebagai anak seni semakin pantas dihayun.
Kehadiran Mia boleh dikatakan masih hijau, namun minatnya terhadap dunia nyanyian sudah terbit seawal usia 15 tahun lagi. Semuanya tercetus selepas menghasilkan lagu-lagu saduran bersama teman rapatnya.
Minat tersebut menjadi serius sehingga mendorongnya untuk menghadiri kelas vokal di Akademi Suara sehinggalah terlahirnya single pertama berjudul Hujung Dunia pada tahun lalu.
Mengorak langkah, Mia kemudian tampil dengan single kedua berjudul Nothing 2 Prove pada November lalu.
Tidak pernah berhenti, perawan berusia 19 tahun itu kembali dengan single terbaharu berjudul Anima ciptaan penyanyi rap, Kayda Aziz bersama Aiman Rijal, Christiana Chai dan Alwani Badaruddin.
Menariknya, lagu tersebut dilancarkan serentak dalam versi dwibahasa bagi memenuhi selera pendengar di luar sana.
Identiti
Mendengar Anima, boleh diibaratkan seperti memasuki zon muzik berbeza daripada karya-karya tempatan lain, lebih segar dan berani bereksperimentasi.
“Dalam kedua-dua versi single Anima dan Anima Bella, saya cuba tonjolkan sisi yang lebih dewasa dan berani serta ingin lari daripada imej keanak-anakan.
“Saya lebih gemar bereksperimentasi dengan muzik demi menghasilkan bunyi yang melambangkan identiti sendiri,” katanya.
Tambah Mia, Anima bukan bermaksud animasi seperti bunyinya tetapi membawa erti jiwa dalam bahasa Itali.
Tegasnya, lirik mahupun mesej lagu tersebut tidak berkait langsung dengan kisah hidupnya khususnya hubungan cinta sebelum ini.
“Menerusi dua karya tersebut, terdapat sebahagian lirik yang berbunyi ‘Sei la Mia anima gemella’ yang bermaksud, ‘Mia, kamu adalah jiwa ku’ yang sering dituturkan oleh seorang lelaki kaki perempuan dan cuba memikat gadis untuk bersamanya.
“Lagu ini tiada kena-mengena dengan kisah peribadi tetapi bagi sesiapa yang pernah mengalaminya, cubalah selami setiap bait lirik dan pasti pendengar dapat merasai apa yang ingin diceritakan,” kata pemilik nama penuh Mia Lateefa Keyte itu.
Berkongsi mengenai pengalaman dalam proses penghasilan Anima, Mia mengakui berbangga dapat bekerjasama dengan beberapa individu yang sememangnya mempunyai sentuhan magis dalam setiap karya yang dihasilkan.
“Peluang bekerjasama dengan komposer terkenal seperti Kayda ternyata sebuah pengalaman berharga kerana banyak ilmu dipelajari.
“Mereka juga tidak lokek berkongsi ilmu dengan pendatang baharu seperti saya,” katanya.
Yuna sebagai idola
Sebagai anak seni yang masih bertatih mengorak langkah dalam dunia hiburan, Mia turut mengangkat Yuna sebagai idola kerana pencapaian yang diraihnya di peringkat antarabangsa.
“Yuna layak dianggap sebagai idola kerana kerja keras yang dilakukannya terbukti membuahkan hasil sehingga berjaya menempa nama di luar negara. Dia juga pernah bekerjasama dengan nama-nama besar industri muzik dunia.
“Semoga lagu-lagu saya menjadi titik tolak ke arah yang sama seperti Yuna. Siapa yang tidak mahu berjaya dan dikenali dunia?” katanya yang memasang impian untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
Terbuka terima kritikan
Menjadi seorang anak seni pastinya tidak dapat lari daripada terpalit dengan kata-kata negatif umum.
Menyedari risiko tersebut, Mia sudah mempersiapkan mental untuk menghadapi sebarang kritikan mahupun kecaman mengenai karya, tarian serta penampilannya.
Lebih-lebih lagi dengan peluncuran video muzik tarian lagu Anima yang sudah dilancarkan menerusi YouTube Warner Music pada 26 November lalu.
“Saya sudah bersedia untuk berdepan dengan kritikan umum khususnya netizen dalam media sosial. Sejak menjalani penggambaran untuk video muzik lagu tersebut, saya sudah bersiap sedia dengan apa sahaja yang mendatang.
“Mungkin akan ada kritikan mengenai gerakan tarian serta berkaitan isu pakaian saya. Apa sahaja yang orang cakap, saya akan terima sebab kritikan perlu diterima secara terbuka.
“Bagi saya, seorang anak seni perlu berani menanggung risiko selain bersedia dengan apa sahaja kemungkinan. Itu yang saya praktikkan sejak awal lagi,” katanya mengakhiri perbualan.