PETALING JAYA – Menantu kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie tampil membersihkan namanya selepas didakwa menggunakan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi menyelamatkan diri daripada terkandas di kawasan banjir.
Jovian menerusi satu hantaran Instagram memberitahu, dia bukanlah seorang individu yang akan menggunakan sesuatu bukan miliknya sekali gus menyangkal dakwaan yang dianggap sebagai fitnah terhadap dirinya.
“Isu helikopter, tak perlu dipanjangkan. Bukan nak menunjuk, kalau nak menunjuk saya dah ‘posing’ dan buat video serta bergambar sakan.
“Siapa yang kenal saya, mereka tahu saya bukan seperti itu. Saya tak guna aset kerajaan, Lillahi Taala. Tak mungkin saya akan guna benda yang bukan hak saya dan jika kalian nak maki hamun saya silakan tetapi itu adalah fitnah,” katanya.
Dalam pada itu, pereka fesyen terkenal itu turut menjelaskan kenderaan yang dinaikinya merupakan helikopter komersial yang tidak digunakan untuk tujuan bantuan bencana alam.
Malah, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan itu turut meminta pihak yang tidak menyukainya berhenti daripada mengikuti perkembangan dirinya dalam media sosial.
“Kenapa tak guna helikopter untuk bantu orang ramai? Jawapannya kerana itu merupakan helikopter komersial, jadi tak boleh nak buka pintu dan turunkan bantuan atau naikkan mangsa.
“Kalau awak tak suka saya, jangan ikuti saja (dalam media sosial). Lebih baik bantu negara daripada terus menghentam perkara yang tidak betul terhadap saya.
“Terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat di luar sana. Betul orang memang tengah sengsara, kalau nak sertai turun padang agihkan makanan ‘roger’ saya,” katanya.
Sementara itu, Jovian juga dilihat antara individu yang turung padang meredah banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam bagi misi menyelamat mangsa bencana di kawasan tersebut malam tadi.
Turut dilihat menyertai misi tersebut ialah isterinya, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri.
Sejak beberapa hari lalu, nama Jovian berlegar-legar dalam media sosial apabila ada yang mendakwa dia mendapat kelebihan dengan menaiki helikopter kerana statusnya sebagai menantu kepada Perdana Menteri.
Hal tersebut tercetus apabila dia dikatakan mendapat akses mudah untuk menyelamatkan diri dengan menaiki helikopter daripada terkandas akibat banjir yang berlaku di Lembah Klang ketika ini. – K! ONLINE