fbpx

Jangan anak tirikan industri vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang kakitangan Nanostix menunjukkan peranti vape keluaran syarikat di Ampang baru-baru ini.

Sembang Korporat

PETALING JAYA – Industri rokok elektronik termasuk vape kini menjadi salah satu alternatif terbaik bagi perokok tegar mengurangkan ketagihan menghisap rokok konvensional.

Ia didakwa dapat membantu mengurangkan ketagihan nikotin yang mana kebanyakan vape hanya mengandungi lima peratus nilai nikotin di dalam satu perisa.

Namun, masih ada sesetengah pihak mempertikaikan industri tersebut sebagai satu cabang yang memudaratkan pengguna kerana sehingga kini perbahasan mengenai kelebihan dan kelemahan vape tiada noktahnya selain persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Menepis stigma itu, Nanostix Innovations Sdn. Bhd. (Nanostix) kini telah menguasai pasaran domestik sekali gus menjadi salah satu pengeluar terbesar di Malaysia selain berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Dalam temu bual bersama wartawan Kosmo!, Nor Aziah Mat Noh menemu bual Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman di pejabatnya di Ampang dengan memperincikan pelbagai isu berkaitan cabaran syarikat dalam penguatkuasaan undang-undang, persaingan dengan produk yang diseludup serta perancangannya masa depan syarikat.

Boleh ceritakan serba sedikit tentang syarikat Nanostix?
Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2018. Sebelum ini, perniagaan hanya difokuskan untuk menjual perisa rokok elektronik. Kami telah merantau ke seluruh dunia untuk mencari perisa tersebut dengan menghadiri pelbagai pameran di Rusia, United Kingdom (UK), Brazil dan Amerika Syarikat (US).

Daripada hasil jualan perisa itu, kami mengeluarkan Nanostix dengan 18 perisa utama dan pada masa itu juga, kami mendapat testimoni yang banyak daripada pelanggan yang berjaya berhenti merokok.

Sekarang, Nanostix berjaya menjual sebanyak 750,000 peranti rokok elektronik dengan memiliki pelanggan sedia ada seramai 150,000 orang di seluruh negara.
Nanostix turut mempunyai 85 outlet di Malaysia, 15 kedai di Indonesia, dua kedai di Rusia dan UK.

Berapakah jualan syarikat pada tahun ini dan sasaran syarikat pada tahun 2022?
Tahun ini, jualan syarikat adalah sebanyak RM130 juta hingga RM140 juta setahun. Sasaran tahun depan masih belum dapat dibincangkan kerana berlaku peningkatan harga terhadap pod yang mana penjualan rokok elektronik akan dikenakan duti eksais sebanyak RM1.60 dan cukai selepas perkhidmatan (SST) sebanyak RM3. Kenaikan duti eksais ini secara tidak langsung akan menjejaskan keuntungan dari segi jualan.

Bagaimana sumbangan eksport pada tahun ini?
Untuk tahun 2020, nilai eksport masih terlalu kecil lebih kurang antara RM7.5 juta hingga RM8 juta. Bagi tahun depan pula, kami mengunjurkan nilai itu meningkat kerana pihak syarikat telah menaik taraf kilang kepada status Amalan Perkilangan Baik (GMP).

Kilang itu turut melalui pemeriksaan Jabatan Kastam Malaysia, jadi barangan eksport tidak akan dikenakan duti eksais seterusnya menjadi lebih murah dan kompetitif untuk dipasarkan.

Apa pandangan tuan terhadap industri vape di negara ini?
Secara peribadi, perjuangan untuk memasar dan mengawal selia industri vape telah berjalan sejak 2015 di bawah empat pimpinan kerajaan yang berbeza dan hanya diiktiraf oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini dengan kewajipan untuk membayar cukai.

Ini satu peningkatan yang bagus walaupun ada pendapat yang berbeza daripada pihak yang berlainan.
Bagi Nanostix, kami bersetuju dengan pihak kerajaan terhadap pengiktirafan tersebut. Tapi bagi pemain industri vape yang lain, mereka merasakan bahawa perkara itu satu bebanan kerana RM1.20 per milimeter (ml) cecair vape itu adalah terlalu tinggi.

Adakah industri vape tempatan setanding dengan negara luar?
Industri vape tempatan di Malaysia adalah yang kedua terbesar di dunia selepas AS. Ini kerana faktor bahan seperti Propylen Glycol (PG) serta Vegetable Glycerin (VG) daripada pokok kelapa sawit lebih murah dan berkualiti tinggi.

Faktor yang lain pula adalah warga tempatan yang mempunyai cita rasa lebih baik daripada segi pemilihan perisa dan pelbagai kerana setiap perisa itu mempunyai rasa yang berbeza berbanding negara luar. Sebagai contoh, rasa mangga kita berbeza-beza, namun bagi pesaing luar negara mereka hanya mampu mengklasifikasikan rasa mangga itu sebagai satu perisa sahaja.

Itu kelebihan negara ini kerana Malaysia merupakan negara tropikal dan kaya dengan pelbagai jenis makanan yang berbeza perisa.Disebabkan faktor itu juga, kami mampu menjadi syarikat yang memasarkan perisa yang paling popular di negara luar.

Daripada segi keselamatan pula, pihak Nanostix memasarkan dalam bentuk sealed packaging. Ia sebenarnya lebih selamat berbanding botol kerana tiada pihak ketiga boleh mencampurkan perisa dengan benda lain seperti ganja yang boleh membahayakan pengguna.

Apakah cabaran industri vape di negara ini?
Cabaran utamanya adalah dari segi undang-undang. Ini kerana industri ini tertakluk kepada beberapa segmen undang-undang. Pertama, undang-undang di bawah Kementerian Kewangan tertakluk kepada aspek import, pencukaian dan juga Jabatan Kastam.

Keduanya adalah di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan, manakala ketiga adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kerajaan tempatan lain.

Sepatutnya kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih terperinci bagi memastikan urusan perniagaan berkaitan vape lebih mudah dan tidak dianaktirikan serta seharusnya diiktiraf sebagai industri yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Bagaimana industri vape mampu memberi sumbangan terhadap ekonomi di Malaysia?
Secara peribadi saya merasakan industri ini mempunyai masa depan. Jadi, satu kerugian buat negara jika peluang ini tidak diambil untuk memajukan ekonomi.

Ini kerana dalam ekosistem Nanostix sendiri, kami mempunyai kira-kira 5,000 pekerja dan secara tidak langsung kami mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan berbanding industri lain.

Apa perancangan terbaharu untuk tahun 2022?
Nanostix akan mengeluarkan peranti baharu pada Januari ini. Peranti ini lebih baik berbanding produk lama yang telah dipasarkan selama empat tahun ini.

Syarikat turut menyasarkan untuk membuat penambahbaikan dalam kapasiti dan kualiti produk. Syarikat kami bersedia untuk dikenakan cukai oleh kerajaan dan harapan saya agar dengan adanya kebebasan ini, hasil jualan akan meningkat sebanyak 30 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI