fbpx

Guru maut, dua adik kritikal kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Honda City dinaiki tiga beradik yang terbakar dalam kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan, Setiu hari ini.

SETIU – Seorang guru wanita maut manakala dua adik perempuannya kritikal setelah kereta Honda City dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, meninggal dunia manakala dua adik perempuannya, Siti Nur Ummi Nabihah, 19, dan Nur Qaseh Balqis, 10, pula cedera parah di beberapa anggota badan.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dikatakan dalam perjalanan mengikut pasangan pengantin baru untuk mengambil foto perkahwinan di Pantai Penarik di sini.

Mereka yang menetap di Kampung Chalok Kedai di sini merupakan ahli keluarga pasangan pengantin tersebut yang baru melangsungkan perkahwinan hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, kereta Honda City yang dipandu Nurul Salikin dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.

“Kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah merempuh tunggul kayu di bahu jalan.

“Mereka sempat dikeluarkan oleh ahli keluarganya dengan bantuan orang ramai sebelum kereta itu terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, Nurul Salikin disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini.

Tambah beliau, dua lagi mangsa iaitu Siti Nur Ummi Nabihah dan Nur Qaseh Balqis yang cedera parah pula dirawat di hospital sama.

“Mayat mangsa (Nurul Salikin) telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI