JAKARTA – Kisah kehidupan seorang wanita menjadi tular di laman Twitter kerana dicurangi oleh tunangnya dan dalam masa, dikhianati bapa kandungnya yang mempunyai perempuan simpanan, lapor laman berita Hits semalam.
Menerusi pendedahan yang dikongsikan sebuah akaun Twitter, wanita tersebut berkata, dia baru sahaja memutuskan pertunangan dua bulan lalu kerana bekas tunangnya didapati curang dengan gadis lain.
“Apa yang tambah menyedihkan adalah, pada minggu lalu, saya mendapat tahu bahawa bapa turut curang di belakang ibu bersama adik iparnya sendiri (ibu saudara),” kata wanita tersebut.
Tambahnya, keluarganya sebelum ini amat bahagia, bahkan kedua-dua ibu bapanya kelihatan saling menyayangi.
“Keluarga kami bahagia. Mama dan Papa selalu kelihatan saling menyayangi, namun pada hari itu, ketika Mama mendapat tahu mengenai sikap Papa, semuanya hancur.
“Mereka bergaduh dan Mama tidak pernah kelihatan sedih seperti ini,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, kakaknya memilih untuk keluar dari rumah, manakala adiknya bertindak mengurung diri di dalam bilik serta ibunya sering menangis dan tertekan.
“Semuanya buat hal sendiri. Terasa seperti ingin mati,” kata wanita terbabit.
Kisah wanita tersebut menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai komen terhadapnya.
“Curang memang satu perbuatan yang hina. Bapa seperti itu tidak layak untuk dipercayai lagi. Bagaimanapun, kamu masih memerlukan seseorang yang bernama bapa. Jadi, kamu perlu terus bertahan walau keadaan sudah tidak sama seperti dahulu,” kata seorang pengguna media sosial. – Agensi