fbpx

Debat Diraja IPT 2021: UIAM kekal juara untuk kali keenam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan UIAM bergambar selepas muncul juara Debat Diraja IPT 2021 di Hotel Zenith, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini terus gah apabila mengekalkan kejuaraan Debat Diraja Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021 dalam kategori bahasa Melayu.

Ini merupakan kemenangan kali keenam IPT berkenaan sejak pertandingan berprestij itu mula diperkenalkan pada 1995 selain diulanginya pada 1999, 2001, 2007, 2010, 2016 dan 2019.

UIAM yang bertindak sebagai pembangkang telah berjaya menyakinkan majoriti tujuh juri pertandingan itu untuk menewaskan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) selaku kerajaan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan turut disaksikan Pengerusi Debat Diraja IPT 2021, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Pasukan UIAM yang diketuai oleh Nor Syahirah Balqis itu membawa pulang wang tunai yang berjumlah RM5,000, trofi, sijil serta buku-buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Pertandingan bahas ala Parlimen Asia edisi Ke-22 kali ini dihoskan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan dianjur bersama Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum).

Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan akhbar rasmi dalam pertandingan yang melibatkan 42 pasukan daripada 23 IPT serta dibahagikan kepada kategori bahasa Melayu dan Inggeris.

Semalam, UIAM turut menjuarai kategori bahasa Inggeris buat kali ke-11 menewaskan musuh tradisinya, Universiti Malaya dalam pusingan akhir yang turut diadakan di Hotel Zenith di sini.

Lebih membanggakan, untuk kategori bahasa Melayu pada hari ini, pendebat kedua UIAM, Muhammad Ilham Hafiz Azmi dinobatkan sebagai pembahas terbaik peringkat akhir tersebut.

Turut membarisi pasukan UIAM ialah pendebat ketiga, Muhammad Wafi Anwar Roslan. Usul yang ditolak mereka ialah Sudah Tiba Masanya ASEAN Meninggalkan Dasar Berkecuali. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI