fbpx

Bunyi letupan kuat selamatkan nyawa ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa anggota forensik Bomba dan Penyelamat melakukan pemeriksaan keadaan rumah pangsa Sri Johor yang musnah terbakar dipercayai akibat kebocoran gas, di sini, hari ini. FOTO: MOHD FARIZWAN HASBULLAH

KUALA LUMPUR – Bunyi letupan kuat lebih tiga kali telah menyelamatkan nyawa seorang ibu tunggal daripada ajal selepas rumahnya di tingkat empat blok 31 Flat Sri Johor, Jalan Jelawat 2, Bandar Tun Razak, di sini terbakar malam tadi.

Menceritakan kejadian itu, C Santhi, 45, berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 9 malam ketika dia seorang diri di rumah tersebut selepas lapan ahli keluarganya yang lain keluar makan.

“Saya baru tiba dari Johor Bharu sekitar pukul 6 petang dan sebab kepenatan saya buat keputusan untuk rehat dan tidur awal.

“Saya suruh salah seorang adik membawa kunci pintu rumah bagi memudahkan mereka masuk rumah jika saya terlelap,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di penempatan sementara mangsa kebakaran di Dewan Komuniti Flat Sri Johor, di sini hari ini.

Menurutnya, ketika sedang baring di bilik tidur dan baru beberapa saat melelapkan mata, dia terdengar bunyi letupan kuat lebih tiga kali dari bilik tidur satu lagi.

“Terus saya bergegas bangun dan tergamam lihat letusan api keluar dan menyambar tilam dan beberapa barangan lain dalam bilik tersebut.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya menjerit meminta tolong sambil berusaha pecahkan mangga pintu utama menggunakan pisau pemotong sayur berkali-kali sehingga berjaya keluar dari rumah,” ujarnya yang bekerja sebagai pencuci di pejabat Beliawanis.

Jelasnya, api marak dengan cepat menyebabkan dia gagal untuk menyelamatkan dokumen penting dan barangan lain termasuk barang kemas berupa rantai dan subang pemberian nenek.

Terdahulu dalam kejadian malam tadi, lapan unit kediaman di tingkat empat blok 31 Flat Sri Johor, Jalan Jelawat 2, Bandar Tun Razak, di sini musnah dalam kebakaran sekali gus menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 9 malam dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI