Mengambil keputusan untuk berhenti kerja bukanlah suatu yang mudah untuk dilakukan, namun adakalanya ia perlu dibuat.
Trend berhenti kerja dalam kalangan wanita terutamanya yang sudah berkeluarga terus berlaku biarpun negara masih berada dalam fasa pemulihan.
Pelbagai sebab yang diberikan antaranya tekanan di tempat kerja, memberi tumpuan kepada anak-anak, suami mampu menanggung keluarga dan mempunyai sumber pendapatan lain.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nasrudin Subhi berkata, tindakan itu merupakan satu trend yang positif jika dilihat daripada satu sudut.
Menurut beliau, antara manfaatnya adalah golongan ibu dapat meluangkan masa bersama anak-anak sepanjang tempoh tumbesaran mereka.
“Tumbesaran usia 5 hingga 6 tahun sebelum anak mula bersekolah dilihat amat penting sebagai asas perkembangan anak-anak. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
“Selain itu, mereka berpeluang mempraktikkan gaya keibubapaan menggunakan acuan sendiri tanpa sebarang campur tangan lain. Bagi mereka yang kurang pengetahuan, banyak informasi boleh didapati secara percuma menerusi internet, seminar dan ceramah,” katanya.
Selain itu, langkah ini menjimatkan perbelanjaan untuk pengasuh, taska dan pengangkutan.
“Jika berpeluang menjana pendapatan dari rumah ia ibarat suatu bonus. Kadangkala sumber baharu ini dapat memberikan ganjaran lebih lumayan daripada makan gaji. Yang penting, ibu bapa perlu mencabar diri memulakan sesuatu yang baharu selain belajar menyeimbangkan pelbagai peranan dalam satu masa,” katanya.
Bagi negara pula, jelas beliau, jika perkara itu dilihat sebagai ketirisan yang merugikan maka perlu diwujudkan polisi bagi membolehkan ibu untuk kembali bekerja setelah kesemua anak sudah besar.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Afzanizam Abdul Rashid berkata, mereka yang bercadang berhenti kerja perlu memastikan segala pembiayaan telah dilangsaikan.
Menurut beliau, ini kerana mereka bakal berhadapan situasi yang lebih berisiko seperti pengurangan atau kehilangan pendapatan.
“Justeru, memastikan tahap keberhutangan sifar merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian supaya kehidupan selepas berhenti bekerja berada keadaan baik dan harmoni.
“Selain itu, berusaha untuk menambah ilmu terutamanya pengetahuan berkaitan kemahiran khusus juga paling digalakkan. Dengan adanya ilmu, maka mereka akan lebih mudah untuk merancang dan melaksanakan pelan perniagaan masing-masing.
Jelas beliau, di samping itu, berkecimpung dalam komuniti perniagaan juga penting bagi memastikan adanya tempat untuk merujuk dari sudut permintaan pasaran dan citarasa para pengguna.
“Dengan adanya media sosial, perkara ini sepatutnya mudah untuk dilakukan dan dicapai. Akhir sekali, perlu ada kesabaran yang tinggi,” katanya.
Ini kerana, katanya, setiap perniagaan mempunyai risikonya yang tersendiri di samping pasang surut berkaitan hasil dan kos perniagaan.
“Umumnya, untuk menjadi usahawan bukanlah mudah. Namun dengan kesabaran serta ilmu pengetahuan yang berkaitan, ia boleh menjanjikan pulangan yang lebih baik daripada makan gaji,” katanya.