fbpx

Banjir: Tiada kecederaan ditemui pada mayat mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditemui tersangkut di paip air.

DENGKIL – Tiada sebarang kecederaan ditemui selepas pemeriksaan dijalankan oleh pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terhadap mayat seorang lelaki tempatan yang dijumpai di flat Taman Permata Dengkil di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang pukul 12.20 tengah hari tadi untuk ujian saringan awal Covid-19 sebelum bedah siasat dibuat.

“Temu bual bersama anak lelaki mangsa menyatakan, bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Cyberjaya keluar rumah pukul 9 pagi semalam menggunakan bot.

“Bagaimanapun, mangsa gagal dihubungi sejak pukul 8 malam. Mangsa mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah katarak yang serius iaitu mata kanan dan kiri rabun teruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan mendapati, mayat mangsa dijumpai pukul 8.30 pagi hari ini tersangkut pada paip air di bawah blok 3 bangunan flat Taman Permata Dengkil oleh seorang lelaki.

“Mayat mangsa telah dibawa keluar dari kawasan banjir oleh pasukan bomba Cyberjaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Flat Taman Permata Dengkil, Ramadass Kanapathy, 60, berkata, dia mengenali mangsa tersebut serta dimaklumkan, lelaki itu disangka berada di rumah saudaranya.

“Memandangkan keadaan banjir, seluruh Dengkil mengalami masalah untuk berhubung. Kami difahamkan, anak mangsa menyangka bapanya berada di rumah saudara berikutan banjir teruk di sini,” katanya kepada Kosmo!

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam keadaan terapung menggemparkan penghuni sebuah bangunan flat di Taman Permata, Dengkil di sini hari ini.
Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dikenali sebagai V. Kaniappan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI