BRASILIA, BRAZIL – Petani di sebuah ladang di Nova Venecia, Brazil gempar apabila seekor lembu peliharaannya melahirkan anak lembu berkepala dua, lapor akhbar Daily Star semalam.
Haiwan tersebut dilahirkan pada 13 Disember lalu dan dilaporkan tidak berupaya untuk berdiri atau makan secara semula jadi.
Menurut anak kepada pemilik lembu tersebut, Delci Busatto, anak lembu mutan itu kini berada di ladang milik keluarganya dan menghadapi kesukaran untuk menyusu serta perlu menggunakan botol.
“Anak lembu itu berada dalam keadaan amat lemah. Ia perlu duduk dan tidak boleh berdiri. Disebabkan itu, ia terpaksa minum susu menggunakan botol,” katanya.
Tambah Busatto, keluarganya ada mendapatkan nasihat daripada pakar, namun mereka juga tidak dapat mengenal pasti penyebab kepada keadaan kelahiran anak lembu tersebut.
“Kami ada berbincang dengan beberapa doktor haiwan, namun tiada seorang pun yang dapat memberikan jawapan kepada sama ada ia boleh terus hidup atau sebaliknya.
“Buat masa ini, kami hanya mampu menunggu dan melihat apa yang akan berlaku,” ujarnya.
Keadaan mutasi boleh berlaku disebabkan oleh beberapa pengaruh mutagenik yang antaranyaa berpunca daripada prosedur kacukan.
Satu daripada kecacatan genetik adalah perubahan dalam genom yang kebiasaannya disebabkan oleh persekitaran dalaman dan luaran haiwan. – Agensi