PELUMBA kelahiran Terengganu, Mohd. Harith Farhan Baharin berbangga dengan pencapaian bersama pasukan Tuneboss-Pink Racing meskipun musim 2021 adalah tahun pertama mereka dalam perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Harith mengakui, pasukannya telah meraih satu keputusan luar biasa dan turut menunjukkan peningkatan positif dalam setiap pusingan perlumbaan meskipun ia adalah penampilan sulung mereka musim ini.
Lebih menarik, Harith berjaya merangkul tiga penamat podium tempat ketiga sewaktu pusingan ketiga di Litar Sepang (Utara), pusingan keenam di Litar Permotoran Terengganu dan pusingan kesembilan di Litar Sepang (Selatan) kelmarin.
Hasil keputusan itu, Harith menamatkan saingan di tangga ketujuh keseluruhan kategori CP125, manakala juara musim ini dimenangi pelumba dari pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team, Adib Rosley selepas mengutip 165 mata.
“Syukur ia adalah keputusan positif kerana tiga podium saya capai bersama pasukan baharu ini adalah yang terbaik. Sudah pasti podium yang kami menangi sedikit sebanyak memberikan kegembiraan.
“Walaupun pasukan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi, namun ia satu kepuasan apabila kami dapat memberikan saingan kepada lawan-lawan yang lebih berpengalaman.
“Jentera dihiasi warna pink tetapi beraksi sangat baik sepanjang musim ini. Saya harap tahun depan pasukan dapat membina jentera yang lebih laju selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Pasukan Tuneboss-Pink Racing berjaya menduduki tangga keenam dengan 123 mata, hanya dipisahkan enam mata dengan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing di tempat kelima.
Juara keseluruhan menjadi milik pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team dengan 301 mata.