PENYANYI kumpulan klasikal terkenal antarabangsa, Il Divo iaitu Carlos Marin meninggal dunia pada usia 53 tahun disebabkan komplikasi Covid-19.
Berita mendukacitakan tersebut dimaklumkan kumpulan berkenaan menerusi Instagram rasmi mereka hari ini.
“Dengan berat hati, kami ingin memberitahu kawan kami, Carlos Marin telah meninggal dunia. Mendiang semestinya akan dirindui oleh rakan-rakan, keluarga dan para peminat.
“Tidak akan ada suara lain atau semangat seperti Carlos. Selama 17 tahun kami berempat telah melalui perjalanan karier yang sangat hebat bersama Il Divo dan kami akan merindui rakan kami yang tersayang ini.
“Kami berharap dan mendoakan agar rohnya akan bersemadi dengan aman,” tulis Il Divo dalam satu kenyataan dalam Instagram.
Terdahulu, kumpulan Il Divo terpaksa akur menangguhkan konsert jelajah Krismas United Kingdom mereka selepas Carlos terpaksa ditidurkan apabila dimasukkan ke hospital di Manchester untuk rawatan lanjut Covid-19.
Menurut laporan media antarabangsa, mendiang Carlos sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 namun jatuh sakit disebabkan virus maut tersebut pada 7 Disember lalu.
Kumpulan Il Divo ditubuhkan bersama oleh Simon Cowell pada 2003 dan telah melahirkan tiga buah album yang menduduki tangga pertama di United Kingdom.
Antara lagu popular yang pernah dirakamkan kumpulan berkenaan termasuklah Unbreak My Heart (Regresa a Mi), Unchained Melody dan My Way. – K! ONLINE