ALOR SETAR – Seramai 7,047 pegawai dan anggota polis digerakkan bagi membantu mangsa banjir di lapan negeri yang terjejas akibat bencana tersebut.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka yang terdiri daripada 568 pegawai dan 6,479 anggota memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat bersama pasukan penyelamat lain.
“Setakat ini kalangan pegawai dan anggota yang digerakkan itu hanya melibatkan mereka yang bertugas di negeri-negeri terjejas dan turut dibantu elemen-elemen tertentu dari Bukit Aman.
“Pegawai dan anggota di negeri lain diminta untuk bersiap sedia sekiranya mereka diperlukan bergerak ke kawasan terjejas. Pada masa sama, mereka juga diminta melakukan persediaan sekiranya berlaku pula banjir di negeri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Kedah Wilayah 1 di Kuala Kedah di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, kalangan pegawai dan anggota yang dikerah bagi membantu mangsa banjir itu termasuklah Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasukan 69 Komando (VAT 69).-K! ONLINE