PETALING JAYA – Beberapa Lori Rawatan Air (LRA) di sekitar Lembah Klang yang dihentikan operasi sejak semalam berikutan banjir sudah mula beroperasi semula pada hari ini.
Antara LRA yang terlibat adalah LRA Semenyih 2, LRA Sungai Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), setakat pukul 7 pagi tadi LRA Semenyih 2 telah mula beroperasi dan bekalan air bersih akan dibekalkan semula kepada pengguna di kawasan yang terjejas secara berperingkat.
Kata Air Selangor lagi, bekalan air bagi LRA ini dijangka pulih sepenuhnya kira-kira pukul 10 malam ini.
“Bagi LRA Sungai Langat, operasi telah dimulakan sepenuhnya dan proses pemulihan bekalan akan diumumkan kelak.
“Untuk LRA Langat 2 pula, proses pengepaman air mentah telah dimulakan dan proses pemulihan bekalan juga akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Air Selangor menambah, bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air sedang dilaksana berikutan insiden banjir.
Bagaimanapun katanya, jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini.
Mengulas lanjut, Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” ujar Air Selangor.-K! ONLINE