PETALING JAYA – Pelakon Wawa Zainal pernah mencuri perhatian ramai gara-gara tindakannya keluar rumah pada hari kelapan berpantang selepas melahirkan anak keempat pada penghujung November lalu.
Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 30, dilihat selamba memakai kasut tumit tinggi semasa singgah di pejabatnya untuk memeriksa stok minyak wangi yang diusahakannya.
Kelmarin, isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu sekali lagi keluar rumah pada hari ke-17 berpantang untuk menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan untuk para usahawan yang diadakan di sebuah
hotel di ibu negara.
Wawa menerusi kapsyen sebuah video yang dimuat naik di Instagramnya berkata, dia berasa lebih bertenaga selepas lebih dua minggu menjalani pantang setelah melahirkan bayinya, Jibril Ibtisam.
“Hari ke-17 berpantang, saya rasa lebih bertenaga. Alhamdulillah, dapat dua anugerah pada majlis Crazy Rich Night semalam (kelmarin),” tulisnya.
Pelakon filem Sabda Kekasih itu berkongsi momen beliau menerima anugerah tersebut sebelum menuruni tangga pentas dengan memakai sepasang kasut tumit tinggi.
Rata-rata peminat kurang senang melihat tindakan pelakon itu yang berani keluar ketika berpantang berbeza dengan cara orang lama yang mengamalkan pantang yang ketat selepa melahirkan anak.
“Risau, sekarang memang okey tapi apabila sudah tua nanti kita tak tahu (keadaan),” tulis seorang pengguna Instagram.
Wawa selamat melahirkan anak keempatnya yang juga bayi lelaki diberi nama Jibril Ibtisam pada 30 November lalu.
Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada tahun 2013.
Pasangan itu dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5, dan Ayya Soffya, 1. -K! ONLINE