KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas terperangkap di dalam rumah dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palinbayan, Kampung Sungai Penchala, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.40 tengah malam sebelum mengerahkan anggotanya ke tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati seorang lelaki terkurung di dalam rumah yang terjejas akibat tanah runtuh sebelum diselamatkan anggota bomba.
“Mangsa yang berusia dalam lingkungan 70-an cedera ringan dan setakat ini, jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian itu masih tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan kejadian tanah runtuh tular di media sosial melibatkan lapan buah rumah di kampung berhampiran kawasan lereng bukit malam tadi.
Jelas Amihizam, kesemua mangsa bagaimanapun berpindah ke rumah saudara mara terdekat dan rakan-rakan.
“Orang ramai diminta sentiasa berwaspada disebabkan faktor cuaca tidak menentu dan sekiranya terdapat maklumat berkaitan bencana diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. -K! ONLINE.