fbpx

Terasa kehilangan, Fizi akui masih sayangkan Shakilla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIZI dan Shakilla mendirikan hanya sempat bergelar suami isteri selama tiga tahun.

SELEPAS lama tidak mendengar khabar tentang pelakon Shakilla Khoriri, tiba-tiba namanya menjadi perhatian umum minggu ini.

Sayangnya, perhatian yang tertumpu terhadapnya bukan kerana cerita positif, sebaliknya kisah keruntuhan rumah tangga pelakon itu dengan suaminya yang juga penyampai radio popular Suria FM, Fizi Ali.

Perpisahan pasangan selebriti itu ternyata mengejutkan ramai pihak selepas Fizi mengesahkan mahligai dibinanya baru berusia tiga tahun bersama Shakilla sudah ‘berkecai’.

Kata Fizi atau nama sebenarnya, Hafizudin Alimudin, 32, hubungannya dengan Shakilla sudah berakhir dan kini mereka membawa haluan masing-masing.

Meskipun sudah berpisah, mereka sepakat membesarkan anak, Nurul Ameena Sofia, 2, bersama-sama.

Bertanggungjawab menjadi ibu dan bapa terbaik, pasangan itu memastikan anak kesayangan mereka mendapat kasih sayang secukupnya.

Walaupun mahligai bahagia yang dibina atas dasar cinta tidak bertahan sehingga ke akhir hayat, Shakilla tetap optimis untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Malah, pelakon drama Selamat Malam Tan Sri itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kebaikan buat dirinya, bekas suami serta anak mereka.

Tumpuan ramai terhadap kisah perceraian mereka bagaimanapun dicemari dengan spekulasi tidak berasas daripada netizen.

Dalam media sosial, ada yang mendakwa keruntuhan mahligai mereka terjadi kerana Fizi tidak mahu membantu isterinya melakukan kerja-kerja rumah.

Benarkah dakwaan tersebut? Shakilla seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal hiburan baru-baru ini bagaimanapun menafikannya.

Kata pelakon berusia 32 tahun itu, dia langsung tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang punca perceraiannya dengan bekas suami seperti yang ‘dicanang’ seorang pengguna Facebook.

FIZI dan Shakilla memberi janji, perpisahan yang berlaku antara mereka tidak akan membuatkan kebajikan dan kasih sayang buat anak kesayangan, Ameena Sofia terabai.

Namun ujarnya, sepanjang dia masih bergelar isteri kepada Fizi, bekas suaminya itu banyak membantu melakukan kerja-kerja rumah termasuk menjaga anak mereka, Ameena.

Beberapa hari selepas berita perpisahan mereka terpampang dalam media, Fizi tampil mengeluarkan kenyataan secara siaran langsung ketika bertugas di konti.

Kata lelaki itu, sejujurnya dia masih lagi sayangkan Shakilla sebagai seorang isteri. Malah wanita itu adalah segala-galanya bagi dirinya.

“Siapa yang mahukan perpisahan? Tiada siapa pun manusia di muka bumi ini yang mahukan perpisahan dalam hidup mereka.

“Saya sendiri pun tidak meminta perkara ini (perceraian) berlaku,” katanya.

Luah Fizi lagi, selepas mereka disahkan bercerai, dia begitu terasa kehilangan kerana masih ada rasa sayang.

“Bila perkara ini terjadi (perpisahan), kita akan rasa kehilangan. Sejujurnya saya masih lagi sayangkan bekas isteri saya.

“Dialah segala-galanya untuk saya. Kami berkenalan hampir lapan tahun termasuk menjalani kehidupan bersama sebagai suami isteri,” luah Fizi.

Sejak mengahwini Shakilla, wanita itu telah banyak mengubah dirinya menjadi lebih baik serta melakukan pelbagai lagi perkara yang indah-indah untuk dirinya.

“Saya minta doa daripada orang ramai agar kami kuat untuk menempuhi perpisahan ini.

“Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana cara untuk memberitahu anak kami bahawa ibu bapanya sudah berpisah,” luah Fizi berendam emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI