fbpx

Sultan Sharafuddin Idris Shah zahir rasa sedih, dukacita banjir di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

SHAH ALAM- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan bencana banjir terburuk yang sedang melanda sebahagian besar daerah-daerah di negeri ini susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Menurut baginda, banyak lokasi yang terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air, serta kawasan-kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini.

“Beta turut menyaksikan sendiri gambar-gambar dan video-video kawasan terjejas dan turut risau dan bimbang dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata.

“Bagaimanapun, beta terharu melihat semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli masyarakat dan kumpulan-kumpulan sokongan yang saling bantu membantu antara satu sama lain ketika berdepan keadaan amat meruncing,” titah baginda di Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Baginda menegaskan, pihak berkuasa yang bertanggungjawab diseru agar menyegerakan bantuan ke seluruh pelusuk kawasan yang terjejas.

Titah baginda selanjutnya, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah diarahkan untuk terus menghulurkan bantuan ke pusat-pusat penempatan sementara banjir dan mengenalpasti situasi rakyat yang kritikal.

“Beta juga menyeru agar pelan tindakan yang lebih komprehensif dikemaskini khususnya apabila berhadapan dengan fenomena bencana banjir luar jangkaan seperti ini supaya respons pantas dapat diambil serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

“Beta berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar bencana banjir ini segera berakhir dan semua urusan rakyat jelata dipermudah serta kembali seperti sedia kala,” titah baginda lagi. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI