KUCHING – Keputusan undian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan lewat diumumkan berikutan masalah cuaca buruk serta jaringan jalan darat terputus.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, DUN Mulu menjadi satu-satunya kerusi belum diumumkan keputusannya berbanding 81 kerusi lain yang sudah mempunyai pemenang.
“Keputusan DUN Mulu tidak akan diumumkan pada 18 Disember 2021 selepas mengambil kira faktor keselamatan petugas pilihan raya yang menggunakan helikopter untuk membawa peti undi ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).
“Ia berikutan cuaca buruk dan juga terputus perhubungan jalan darat. Keputusan DUN Mulu akan diumumkan sebaik sahaja menerima peti undi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Menurutnya, peratusan dan jumlah pengundi keluar mengundi juga akan diumumkan bersama
pengumuman tersebut.
Setakat pukul 10.45 malam semalam, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memenangi sebanyak 75 kerusi sekali gus memiliki majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula berjaya menawan empat kerusi DUN diikuti DAP dengan dua kemenangan. -K! ONLINE