PUTRAJAYA – Kerajaan menyalurkan peruntukan RM200 juta bagi menangani impak banjir dan pengaktifan rangkaian bencana syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara peruntukan dan langkah diambil termasuk menyegerakan penyaluran RM50 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
Menurut beliau, ia bagi memastikan kelangsungan bantuan kepada isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.
“Kerajaan turut meningkatkan kadar Bantuan Wang Ihsan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir atau terkesan bencana lain yang diisytihar oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.
“Peruntukan awal RM100 juta bagi persediaan usaha pemulihan pascabanjir. Bagi usaha ini, kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membaiki rumah-rumah dan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan (MOF) turut mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM).
Ujarnya, sektor perbankan menunjukkan kesediaan untuk menawarkan program bantuan pembayaran bagi peminjam-peminjam yang terkesan akibat banjir tersebut.
Mengulas lanjut, katanya, sebagai usaha permulaan, jumlah keseluruhan sebanyak RM50 juta akan disediakan oleh kerajaan dan GLC dan GLIC.
“Jumlah ini merangkumi geran padanan berjumlah RM25 juta dari kerajaan, manakala GLIC dan GLC akan bersama-sama memperuntukkan RM25 juta.
“Jumlah RM50 juta ini akan diaktifkan melalui GLC/GLIC Disaster Recovery Network (GDRN) bagi membantu mangsa bencana banjir. Sehubungan itu, semenjak 17 Disember 2021, GDRN telah mula memantau keadaan banjir seluruh negara,” katanya. – K! ONLINE