PETALING JAYA – Beberapa perkhidmatan tren penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dibatalkan berikutan banjir dan hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak semalam.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd. Zain Mat Taha berkata, pembatalan itu melibatkan perkhidmatan KTM Komuter, KTM Antarabandar dan KTM Kargo.
Menurutnya, hujan lebat sejak semalam turut menyebabkan operasi tren terjejas di sektor Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Oleh itu, kami terpaksa membatalkan beberapa perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang. Angin kuat menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan alat talian atas.
“Landasan juga ditenggelami air di beberapa tempat yang menyebabkan kelewatan serta pembatalan tren,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zain berkata, bagi perkhidmatan KTM Komuter laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang, tren dari KL Sentral ke Pelabuhan Klang akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya.
Jelasnya, tren tersebut akan berpatah balik ke KL Sentral.
“Tiada perkhidmatan dari Stesen Batu Tiga menuju ke Stesen Pelabuhan Klang berikutan banjir dan tanah mendap antara Padang Jawa dan Shah Alam,”ujarnya.
Sementara itu, bagi perkhidmatan KTM Antarabandar, Ekspres Rakyat Timuran, perkhidmatan tren No. 26 dan 27 laluan Kempas Baru akan beroperasi seperti biasa.
“Perkhidmatan shuttle timuran untuk semua laluan akan beroperasi seperti biasa.
“Bagi KTM Kargo pula, semua tren dari Pelabuhan Klang akan digantung sementara sehingga paras air di Stesen Batu Tiga kembali surut dan landasan di sektor Padang Jawa dan Shah Alam kembali pulih,”ujarnya.
Mohd. Zain menambah, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Skypark Link akan beroperasi seperti biasa.- K! ONLINE