SHAH ALAM – Perasaan tidak sedap hati seorang bapa terhadap anak lelakinya yang tidak menjawab dua panggilan yang dibuat terjawab apabila dimaklumkan mekanik itu maut dalam nahas ngeri kelmarin.
Mohamad Rahimi Rolex, 27, merupakan antara 10 mangsa yang terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 12.09 tengah malam di kawasan rehat dan rawat (R&R) USJ, Kilometer 8.3, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).
Adik mangsa, Mohamad Farhan, 24, berkata, bapanya, Rolex Shapiai, 53, menghubungi arwah kerana bimbang abangnya masih belum pulang dari kerja dan mula tidak sedap hati apabila dua panggilan yang dibuat tidak diangkat.
Katanya, arwah keluar dari rumah pada pukul 10 malam dengan memandu kereta Proton Wira untuk membantu rakannya yang mengalami masalah kereta dipercayai berkaitan bateri.
“Bapa buat panggilan pertama pada pukul 12 tengah malam, namun tidak berjawab dan mula rasa tidak sedap hati. Dia kemudian menghantar mesej menerusi WhatsApp kerana bimbang anaknya masih belum pulang-pulang.
“Dia kemudian membuat panggilan kedua setengah jam kemudian sebelum dijawab anggota bomba yang memaklumkan abang maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Shah Alam di sini semalam.
Mohamad Rahimi maut selepas dirempuh sebuah treler ketika sedang memberi bantuan kepada rakannya yang mengadu keretanya mengalami kerosakan.
Turut maut dalam nahas itu ialah sembilan beranak berusia antara 10 bulan hingga 37 tahun.
Tambahnya, kali terakhir dia bertemu dengan arwah ialah pada pukul 9 malam kelmarin sebelum abangnya itu keluar rumah.
Menurut Mohamad Farhan, pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar buat keluarganya kerana dia seorang yang ringan tulang dalam membantu keluarga.
Sementara itu, sepupu arwah, Mohd. Taufik Mohd. Zain, 27, berkata, dia terlalu sebak sebaik menerima berita sedih itu kerana arwah merupakan rakan sepermainannya ketika kecil dan mereka membesar bersama.
Katanya, dia mendapat perkhabaran duka itu melalui pesanan WhatsApp keluarganya pada pukul 6 pagi selepas bangun tidur.
“Kali terakhir kami bertemu ialah kira-kira dua bulan lalu ketika dia membaiki motosikal di sekitar Shah Alam. Arwah seorang yang baik hati kerana dia akan segera membantu keluarga atau kawan-kawan yang dalam kesusahan,” katanya.
Lebih sedih apabila Muhamad Rahimi mahu hadir pada majlis perkahwinan salah seorang sepupunya di Kampung Tebuk Pulau, Sabak Bernam pada hujung bulan ini.
“Kenduri itu akan mengumpulkan seluruh ahli keluarga termasuk arwah. Kami sudah lama tidak berjumpa disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Allah lebih menyayanginya dan kami reda,” katanya. -K! ONLINE