PUTRAJAYA – Paradigma pemikiran teosentrik berpandukan kepimpinan Rasulullah SAW perlu diperkasakan melalui tarbiah imaniah bagi menangani dan meninggalkan pemimpin politik yang menyalahgunakan kuasa, rasuah, korup dan tidak berintegriti.
Begitu juga saranan agar parti-parti politik mengamalkan budaya politik murni dan meninggalkan politik ala machiavelli demi mengangkat kembali maruah negara bangsa.
Itu antara lapan perkara digariskan dalam resolusi dikemukakan Kongres Perpaduan Negara 2021 bagi menjayakan gagasan perpaduan negara selaras dengan keutamaan perpaduan umat Islam sebagaimana matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Kongres berkenaan semalam.
Kongres tersebut juga turut mengariskan resolusi konsep Keluarga Malaysia yang berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran mesti difahami sebagai landasan perpaduan bermula dengan perpaduan Melayu-Islam dengan merangkumkan seluruh rakyat berbilang kaum dan agama.
Begitu juga Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai teras perpaduan dengan cabaran utama adalah kefahaman dan penghayatan Rukun Negara yang perlu dimulakan dengan pendidikan guru di sekolah dan pensyarah di universiti.
Menurut resolusi tersebut, institusi Raja-raja Melayu adalah tonggak kestabilan politik dan penyatu rakyat, justeru kongres menyeru kesetiaan seluruh rakyat kepada Raja dan negara, selaras dengan Rukun Negara. – K! ONLINE