BATU GAJAH – Pihak bomba sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kilang elektronik di Kampung Baru Bemban di sini yang berlaku pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.19 pagi.
“Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang. Operasi pemadaman turut dibantu jentera dan anggota dari BBP Ipoh, BBP Pasir Puteh, jentera bekalan air BBP Simpang Pulai serta pasukan bomba sukarela,” ujar jurucakap tersebut.
Walau cuaca hujan tetapi api marak menjulang menyebabkan kepulan asap hitam boleh dilihat sejauh dua kilometer.
Operasi pemadaman diketuai Komander Operasi PBK II Khamis Harun. – K! ONLINE