fbpx

Kami dah tak ada rumah – Afieq Shazwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIEQ terpaksa meninggalkan rumah yang didiami bersama neneknya di Klang selepas keadaan banjir semakin memburuk.

PETALING – Penyanyi dan pelakon Afieq Shazwan memberitahu dia dan neneknya terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Klang, Selangor ekoran situasi banjir yang semakin memburuk ketika ini.

“Saya dah tak ada rumah sekarang. Saya dan mama (nenek) terpaksa tinggalkan rumah kami serta mencari tempat berteduh sementara kerana keadaan banjir yang membimbangkan.

“Saya tak pernah sangka dan menduga akan alami perkara begini (banjir). Saya pun tak pernah terfikir dek akal yang bilik tidur saya akan jadi macam ini.

“Bayangkan sejak dari lahir duduk rumah itu bersama nenek, ini pertama kali jadi macam itu. Terakhir kali banjir pun masa mama umur 12 tahun. Bayangkan berapa lama tak jadi macam ini (banjir).

“Memang tiada cara lain, demi keselamatan saya dan mama akhirnya terpaksa meninggalkan juga rumah kami kerana bimbang lebih-lebih lagi mama sudah berusia 70 tahun. Sejak semalam, saya puas pujuk dia untuk sama-sama-sama ikut keluar dan tinggalkan rumah,” katanya kepada Kosmo!.

Beritahu pelantun lagu hit Malam Semakin Dingin itu, dia dan neneknya kini sudah pun berada di sebuah kawasan luar dari Klang dan mereka dalam keadaan selamat.

“Buat masa sekarang semua dalam keadaan baik. Saya dan mama semuanya selamat. Tempat yang kami diami ini pun jauh dari kawasan yang terjejas banjir.

“Dah selesai semuanya nanti, kalau banjir dah reda, saya dan mama akan pulang dan kemas rumah yang terjejas macam biasa,” ujarnya.

Terdahulu, sejak semalam menerusi InstaStory, Afieq turut berkongsi keadaan di dalam rumahnya yang dinaiki air hingga ke paras buku lali dan difahamkan berlaku sejak tengah malam kelmarin lagi.

Afieq sebelum ini turut mendedahkan dia terpaksa ‘melarikan diri’ sejauh empat kilometer dari kediamannya di Klang demi mendapatkan akses internet dan liputan telefon ekoran masalah jaringan disebabkan rumahnya yang dinaiki air banjir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI