fbpx

Harta RM6 juta milik keluarga bekas Exco Johor dilucutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Latif (tengah) bersama barisan peguam ketika ditemui selepas prosiding pelucutan harta di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor hari ini. - Foto MUHAMMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya dalam rayuannya hari ini untuk melucut hak harta bernilai lebih RM6 juta milik bekas Exco Kerajaan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi, anak dan menantunya.

Jumlah pelucutan hak harta itu termasuk yang dimiliki responden kes tersebut membabitkan ejen hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Rauf dan keluarganya.

Antara harta yang dilucut hak adalah 19 buah kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV.

Turut dilucut hak adalah 16 utas jam tangan mewah, 15 beg tangan mewah, 15 barangan kemas serta pelbagai mata wang asing iaitu mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Mei 2019, yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta yang disita perlu dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan dan memperhalusi hujahan lisan dan bertulis melibatkan pelbagai pihak.

“Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden.

“Mahkamah ini berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Abd. Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd. Rauf dan Mohd Fauzan Hatim Abd Latif.

“Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila menggunakan beban bukti melampaui keraguan yang munasabah semasa menolak permohonan perayu untuk melucut hak harta semua responden. Permohonan di hadapan Hakim perlu diputuskan mengikut beban bukti dalam kes sivil iaitu di atas imbangan kebarangkalian,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN