fbpx

Harith banggakan Tuneboss-Pink Racing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARITH (tengah) berjaya meraih podium ketiga pada perlumbaan pusingan kesembilan CP125 yang berlangsung di Litar Sepang Selatan semalam.

HASRAT pelumba pasukan Tuneboss-Pink Racing, Mohd. Harith Farhan Baharin untuk naik ke podium pada perlumbaan pusingan kesembilan CP125 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 tercapai apabila menamatkan saingan di tempat ketiga.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Sepang Selatan semalam, Harith menampilkan tunggangan konsisten biarpun diberi saingan oleh pemenang, Mohd. Fareez Afeez Abd. Rahman serta pelumba tempat ke­dua, Mohd. Syafiq Rosli.

Harith yang memulakan perlumbaan di petak hadapan diberi saingan yang cukup sengit sepanjang perlumbaan, namun dia tetap tenang biarpun berlumba dalam keadaan litar basah.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menyatakan, dia sangat bersyukur dengan keputusan tersebut selain berterima kasih kepada pasukan yang sudah menyediakan jentera terbaik ming­gu ini.

“Pertama sekali, terima kasih kepada pasukan kerana jentera berada pada tahap terbaik ming­gu ini. Begitu juga keluarga dan kawan-kawan yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada saya.

“Perlumbaan hari ini (semalam) memang sengit kerana saya bermula di petak hadapan dan saya sudah jangka persai­ngan akan menjadi sukar. Alhamdulillah kami berjaya tamatkan perlumbaan di tempat ketiga,” katanya sejurus tamat perlumbaan semalam.

Pelumba berusia 22 tahun itu juga menjelaskan, dia terpaksa menampilkan aksi berhati-hati dengan mengawal kelajuan jentera bagi memastikan dia tidak terjatuh pada perlumbaan itu.

Keputusan itu sekali gus mencerahkan peluang Harith untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima pelumba terbaik keseluruhan menje­lang perlumbaan terakhir di litar sama hari ini.

Dalam pada itu, pelumba pa­sukan Ipone Yamaha YY Pang Ra­cing, Mohd. Adib Rosley mena­matkan penantian selama 11 ta­hun apabila muncul juara keseluruhan CP125 musim ini meskipun menamatkan perlumbaan sema­lam di tempat keenam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI