PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan keadaan hujan melibatkan hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk negeri Sabah pada pagi ini.
MetMalaysia dalam laporan kaji cuacanya di laman YouTube berkata, melihat kepada carta angin semasa dapat diperhatikan ketika ini angin masih lagi bertiup dari pelbagai hala dengan kelajuan yang agak sederhana sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam.
Bagaimanapun, kawasan angin lebih tertumpu di kawasan perairan negeri Perak dan sekitar utara Semenanjung Malaysia.
“Kami menasihati penduduk di sekitar Perak dan utara Semenanjung Malaysia untuk berhati-hati dan berwaspada ketika ini.
“Beberapa kawasan di sekitar Kedah, Perlis sedang dilanda hujan dan dijangka berlarutan sehingga petang nanti, manakala cuaca yang sama sedang berlaku di bahagian selatan negeri Perak dan akan berterusan sehingga lewat malam hari ini,” katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, keadaan hujan lebat akan mula beransur pulih melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu menjelang petang nanti.
Sementara itu, hujan lebat serta ribut petir berlaku di kawasan pedalaman Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan serta Tawau di Sabah.
“Cuaca yang sama turut melibatkan keseluruhan kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga pukul 12 tengah hari,” katanya. – K! ONLINE