PETALING JAYA – Unit Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memaklumkan mengenai penutupan dan lencongan jalan sekitar ibu negara bermula hari ini.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, tindakan itu disebabkan laluan tersebut masih dinaiki air sejak dua hari lepas susulan hujan lebat berterusan.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, antara laluan yang terlibat adalah sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan Jalan Munshi Abdullah menghala Dang Wangi, Dewan Tun Razak 1 Jalan Rahmat dan Jalan Sentul Manis berhampiran bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur.
“Selain itu, turut melibatkan Jalan Pahang Barat, Jalan Ipoh Sentul, susur keluar Jalan Kinabalu dan Jalan Lebuh Ampang arah Gereja Raja Chulan,” katanya.
Sementara itu, JSPT Kuala Lumpur turut menyenaraikan kawasan yang dinaiki air bagi rujukan orang ramai melalui kenyataan di laman Facebooknya.
“Antara laluan yang terlibat adalah Jalan Pahang dari arah stesen monorail Chow Kit menghala ke bulatan Pahang, Jalan Rahmat berhampiran Bank Rakyat yang dinaiki air paras lutut, Jalan Sentul Manis bersebelahan bangunan JKR, Jalan Pahang Barat, Jalan Ipoh menghala ke Jalan 1/68B berhampiran Klinik Rudi disebabkan air sungai melimpah.
“Turut melibatkan laluan di hadapan Hospital Tong Sin Jalan Pudu, Jalan Tun Razak bersebelahan stesen minyak Shell berhadapan Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Melaka menghala ke Jalan Tun Perak, Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Kinabalu serta Jalan Tunku Abdul Halim menyebabkan tiga lorong ditutup,” katanya.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam banjir dan kesesakan lalu lintas. – K! ONLINE