IPOH – Sebanyak 1,596 lokasi sampah haram dikesan sepanjang tahun ini berbanding 1,672 pada tahun sekali gus menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir warga bandar Ipoh dalam aspek pengurusan sampah.
Kebanyakan lokasi ini pula adalah kawasan sama yang telah dibersihkan oleh petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum dikotorkan kembali pihak tidak bertanggungjawab.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keingkaran mematuhi amaran telah mengundang masalah terutamanya terhadap penduduk yang tinggal berdekatan.
Menurutnya, ia bukan sahaja mencemarkan persekitaran tetapi turut membazirkan wang rakyat yang sepatutnya boleh digunakan untuk program pembangunan lain di bandaraya Ipoh.
“Jenis sampah yang sering dibuang seperti sisa-sisa makanan termasuk bahan-bahan bungkusan makanan dan minuman.
“Sampah seperti ini, jika dibiarkan akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan juga seterusnya menarik tikus dan lalat yang mana merupakan pembawa penyakit,” ujarnya.
Beliau ditemui semasa melihat kerja-kerja pembersihan sampah haram di Hala Pegoh 27 dekat RPT Pengkalan Pegoh Seberang di sini.
Lokasi tersebut telahpun dibersihkan oleh petugas MBI pada setiap bulan, namun tidak sampai seminggu, kawasan tersebut dipenuhi sampah semula.
Tegas Rumaizi, sikap degil segelintir warga bandar Ipoh membuang sampah secara haram seolah-olah menjadi kebiasaan walaupun setelah dibersihkan terutama di kawasan perumahan, tanah lapang dan di pinggir jalan raya.
“Unit Anti Litter MBI juga akan terus menjalankan kerja-kerja intipan dan tangkapan terhadap pembuang sampah haram dengan mengenakan tawaran kompaun bernilai RM2,000.
“Bagaimana pun, tindakan semata-mata tidak berkesan sekiranya tiada kesedaran sivik pada si pembuang sampah,” ujarnya. – K! ONLINE.