KUALA LUMPUR – Pasukan Hoki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL HT) menepati ramalan selaku pilihan utama apabila menjuarai kejuaraan sulung Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) kategori wanita musim ini.
Kejayaan itu hadir selepas DBKL HT berjaya menewaskan MOHC 3-1 pada aksi final di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak hari ini.
Tiga gol DBKL HT diperoleh menerusi Nuraini Abdul Rashid seawal minit ketujuh, Nor Izaidah Ibrahim (m-16) dan Qasidah Najwa Muhammad Halimi (m-28).
MOHC yang lebih banyak menguasai permainan, terpaksa akur tewas pada aksi final itu apabila sekadar menjaringkan satu gol menerusi Nur Syafiqah Mohd. Zain pada minit ke-34.
Nuraini yang turut ditabalkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan, menganggap kejayaan itu hasil usaha dan kerja keras daripada semua pemain.
“Alhamdulillah, syukur kerana DBKL HT berjaya muncul sebagai juara sulung kejohanan.
“Kejayaan ini sebenarnya adalah kejayaan sepasukan, hasil usaha, disiplin dan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua pemain sebelum dan sepanjang kejohanan ini,” kata Nuraini.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA selepas menewaskan Wipers 3-2 pada penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan. – K! ONLINE