fbpx

Datuk Nash lima jam redah banjir dengan motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASH meredah banjir dari Shah Alam ke Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Persekutuan semalam.

PETALING JAYA – Penyanyi, Datuk Nash antara ratusan mangsa yang terperangkap di kawasan Batu Tiga, Shah Alam, Selangor berikutan banjir yang mengakibatkannya nyaris terlepas menghadiri konsert kelima Hijrahkan Laguku, malam tadi.

Katanya, pertolongan jiran yang datang sebagai penyelamat dengan membawa motosikal membolehkannya sampai ke lokasi program realiti TV AlHijrah tersebut sebelum acara bermula.

Pun begitu, beliau terpaksa menempuh perjalanan hampir lima jam untuk ke Kuala Lumpur.

“Saya keluar dari rumah selepas Zuhur tetapi tersangkut di Batu Tiga. Kami cuba cari laluan alternatif lain tetapi hampir semua jalan dinaiki air. Jadi saya hubungi jiran untuk meminta pertolongan bawa saya ke stesen TV Alhijrah.

“Selepas dia sampai, kami terus redah Lebuhraya Persekutuan. Sepanjang perjalanan memang banyak dugaan, ada laluan air naik tinggi hingga kami kena berjalan dan singsing seluar elak basah.

“Paling risau motosikal meragam kerana beberapa kali melalui laluan banjir. Alhamdulillah, ketika azan
Maghrib berkumandang saya tiba di AlHijrah. Kalau saya naik kereta, mungkin program bermula pun saya tak sampai lagi.

“Ikut giliran saya memang peserta pertama yang muncul, namun saya sudah maklumkan supaya produksi sediakan pelan B kalau saya masih ‘tersangkut’ di jalan lagi,” katanya kepada K! Online.

Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias adalah peserta program realiti terbitan TV AlHijrah yang disiarkan secara langsung pada setiap Sabtu bermula 20 November lalu.

Pencabar lain untuk lagu popular yang digubah semula kepada dendangan dakwah itu seperti Iwan Shahman, Mark Adam, Pengeran Adam, Zaf VE dan Shahir Zawawi.

Terdahulu, Nash menjadi antara penyanyi yang dilihat paling menonjol pada setiap minggu dengan persembahan meyakinkan bersama gubahan seni kata olahan semula yang mantap.

Zack Kool dan Rahmad Mega sudah terkeluar daripada persaingan, manakala malam tadi, tiada penyingkiran dilakukan biarpun dua peserta iaitu Adam serta Shahir berada pada kedudukan paling bawah.

Menyentuh mengenai persembahan pada minggu ke lima yang menyaksikan aktor Saharul Ridzwan tampil membuat kejutan, katanya dia mahukan kelainan memandangkan sebelum ini hanya muncul solo.

Katanya, pelakon tersebut menyambut baik pelawaan untuk menyampaikan hadis Nabi Muhammad SAW di pentas Hijrahkan Laguku tanpa berfikir panjang.

“Saya mengenalinya awal tahun ini namun seakan sudah kenal lama. Peribadi Saharul sangat baik dan mesra. Jadi apabila dia sanggup terima jemputan membacakan hadis untuk persembahan saya, sudah tentu saya sangat berbesar hati.

“Sepanjang empat minggu saya hanya tampil sendiri. Apabila memasuki minggu kelima ini, memang Saharul sudah ada dalam fikiran. Biarpun mempelawanya hanya tiga hari lalu, dia terus setuju.

“Sebak juga hati sebab dalam keadaan cuaca tidak menentu dan sesak di sana sini disebabkan banjir, Saharul tetap datang melunaskan perkara yang sudah kami perincikan untuk persembahan malam ini,” katanya yang membawakan lagu Firman, Kehilangan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI