fbpx

Berhenti damba populariti, Ramlah Ram kejar reda Ilahi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLAH RAM

RAMLAH Ram, sepotong nama legenda yang tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum. Bergelumang dalam industri seni suara selama lebih tiga dekad, kedudukannya tidak langsung tergugat walau hadir sejuta penyanyi baharu.

Selesa dengan kehidupannya ketika ini, dia yang terkenal menerusi lagu Kau Kunci Cintaku mengakui populariti mahupun misi mengejar dunia glamor sudah terpadam dalam kamus hidupnya.

Keramahan dan senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Itulah Ramlah Ram, figura yang sangat disenangi ketika hadir ke sesi fotografi di ibu pejabat Media Mulia baru-baru ini.

MASIH relevan, Ramlah bersyukur dirinya masih lagi diterima ramai walaupun sudah lebih tiga dekad berada dalam industri seni tanah air.

Bukan niat membandingkannya dengan penyanyi zaman sekarang tetapi sikap mesra dan mudah bekerjasama ditonjolkan penyanyi itu harus dijadikan contoh.

Mudah kata, tiada unsur diva dalam dirinya walaupun sememangnya dia berdiri di satu aras yang tinggi.

‘Bersyukur tetapi takut’

Sempat bertanya tentang jutaan pujian yang diterima selepas ramai mengagumi kehebatannya di atas pentas Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) bulan lalu, jawapan ringkas meluncur di bibir penyanyi itu. Syukur, namun terselit rasa takut.

Katanya, dia bersyukur kerana ramai yang masih menerima kehadirannya sebagai penyanyi tetapi mengakui ada rasa gusar andainya hanyut dengan lambungan pujian daripada khalayak.

“Seperti muncul satu beban dan harapan ramai kerana risau akan mengecewakan hati peminat yang sentiasa mahukan terbaik serta kesempurnaan daripada idola mereka.

“Disebabkan itu, kalau boleh saya sentiasa letakkan limitasi pada diri sendiri supaya tidak cair dan leka dengan pujian orang lain,” kata penyanyi berusia 56 tahun itu kepada Pose.

SELESA bersendiri, walaupun sudah lebih 10 tahun menjanda, Ramlah masih belum bersedia untuk membuka pintu hatinya kepada mana-mana lelaki untuk bergelar suami.

Kongsi bekas juara Bintang RTM 1985 itu, dia kini berada dalam fasa tidak lagi terkejar-kejar mencari populariti dan seronok dengan dunia glamor.

“Itu bukan lagi prioriti saya ketika ini. Saya selesa dengan kehidupan sekarang bersama bonda tercinta dan juga mengejar keredaan serta kasih sayang Allah SWT,” katanya lagi.

Perlu ditapis

Sejenak berbual, sempat dilayangkan pertanyaan tentang pendapatnya melihat situasi semasa industri seni suara ketika ini termasuk kebanjiran penyanyi baharu yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Tiada niat mempertikaikan rezeki orang lain tetapi baginya untuk menjadi seorang anak seni, nawaitu perlu ikhlas dan bukan kerana ingin populariti untuk keuntungan diri sendiri sahaja.

“Sekarang, walaupun ‘cover’ satu lagu terus digelar penyanyi. Kadang-kadang pelik juga dengan situasi tersebut sebab terlalu mudah menggelar seseorang sebagai penyanyi.

“Saya tak mahu bandingkan tetapi penapisan untuk menjadi seorang penyanyi perlu ada,” ujarnya yang anggun menggayakan persalinan rekaan Zuraidah Said Creation.

Ya, perlu ada pihak atau yang menapis kebanjiran penyanyi baharu. Demikian pendapat peribadi penyanyi kelahiran Johor itu.

Menunduk ke bumi dengan mengakui kedudukannya tidaklah gah seperti penyanyi lain tetapi Ramlah berkata, dia hanya mahu memastikan industri seni suara tidak dipandang rendah oleh pihak lain di luar sana.

PESAN Ramlah buat penyanyi baru, teruskan mencari identiti sendiri dan kayakan diri dengan sifat ikhlas untuk kekal relevan dalam industri.

“Bagi saya, memang perlu ada atau diwujudkan sebuah badan penapisan untuk sesiapa yang mahu menjadi penyanyi berkualiti.

“Ada suara, duit atau rupa bukan tiket segera tetapi mereka perlu sedar penyanyi merupakan satu pekerjaan sebagai penghibur yang meliputi banyak aspek. Bukan setakat viral semata-mata.

“Jika mental tidak kuat dengan kecaman dan semangat pula hanya hangat-hangat tahi ayam. Niat juga perlu betul. Jika nak jadi seorang penghibur bukan sekadar menyanyi satu lagu kemudian senyap,” katanya lagi.

Mengulas mengenai mutu nyanyian segelintir penyanyi generasi masa kini, Ramlah berpendapat ada yang kurang memuaskan pada pendengarannya terutama sebutan lirik.

“Dahulu kami dilatih dan diajar menyebut setiap patah perkataan dengan jelas. Selagi sebutan kurang jelas, boleh diibaratkan tidak lulus menjadi seorang penyanyi.

“Berbeza dengan zaman sekarang. Mungkin jenis muzik dan lenggok nyanyian membuatkan sebutan mereka kurang jelas didengar. Seperti bergumam pun ada juga,” komennya sebagai seorang penyanyi senior.

Pesanan Sudirman

Sempat mengimbau memori, Ramlah turut berkongsi sepotong pesanan ringkas tetapi penuh makna yang dititipkan idolanya iaitu Allahyarham Sudirman Arshad suatu ketika dulu.

Pesan Sudirman: “Ramlah, awak kalau nak menyanyi, jangan terlalu kampung dan usah terlebih moden. Kekal sahaja di tengah-tengah.”

“Itu kata-kata daripada seorang seniman yang saya pegang sehingga kini. Setiap lagu saya jika didengar semula memang tidak terlalu terkini atau lama,” kongsinya menutup kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI