fbpx

Banjir: Agong turun padang lawat mangsa di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS Kelab Sultan Sulaiman hari ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini hari ini.

Pada lawatan itu, Al-Sultan Abdullah meluangkan masa hampir satu jam bermula pada pukul 11.15 pagi menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di PPS tersebut.

Istana Negara dalam kenyataannya berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa akibat musibah banjir tersebut.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat tanpa mengira masa, tempat dan cuaca.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di empat lagi PPS di Dewan Hamzah (Dang Wangi), Pusat Komuniti Sentul, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Saraswathy dan Dewan Sri Endah Seputeh di Brickfields,” katanya di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini.

Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah dari rumah mereka ke PPS.

Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir supaya bersabar dan reda dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada bulan ini dan Januari,”ujarnya.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menyeru agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa banjir.

“Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga cuaca akan bertambah baik dan bencana banjir tidak berlarutan serta fenomena banjir terbesar pada tahun 1971 tidak berulang,”kata Istana Negara.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI