fbpx

ATM–The Gladiators julang kejuaraan sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain ATM-The Gladiators berjaya menewaskan DBKL HT untuk merangkul gelaran sulung MIHL kategori lelaki musim ini. - MHC

KUALA LUMPUR – Pasukan hoki ATM–The Gladiators muncul juara saingan lelaki Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2021 selepas menewaskan DBKL HT 4-2 pada aksi final di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim hari ini.

Final yang menemukan dua teratas liga itu ternyata sengit dengan kedua-dua pasukan menampilkan aksi berbalas serangan selain jumlah circle penetration dan pukulan sudut penalti yang seimbang.

Bagaimanapun, ATM-The Gladiators turun ke gelanggang dengan lebih aggresif sebaik wisel pemulaan sehingga berjaya meraih empat gol menerusi Mohd. Shafiq Yaacob seawal minit pertama permainan.

ATM-The Gladiators sekali lagi membuktikan kehebatan apabila menggandakan kedudukan melalui Mohd. Norhafizie Jamil Azomi pada minit ke-21.

Saingan menjadi lebih menarik apabila DBKL HT berjaya merapatkan jurang menerusi Rafizul Ezry Mustafa yang menjaringkan gol cantik berselang seminit kemudian.

Namun, dua gol dalam tempoh empat minit menerusi Razali Mohd. Hazemi dan Norfadzeli Nasir masing-masing pada minit ke-34 serta ke-38 meranapkan harapan DBKL HT.

Beberapa saat sebelum masa sebenar tamat, DBKL HT membolosi gawang ATM-The Gladiators menerusi gol Muhammad Aslam Mohamad Hanafiah untuk menjadikan kedudukan muktamad 4-2.

“Kami turun dengan lebih bersedia, mencari kelemahan lawan dan merangka strategi sesuai untuk bermain dengan permainan pantas bagi memerangkap DBKL.

“Strategi kami menjadi dan saya amat berpuas hati dengan pencapaian ini,” kata Razali merangkap kapten ATM-The Gladiators yang turut diumumkan sebagai penjaring terbanyak bersama rakan sepasukan, Mohd. Shafiq dengan 16 gol.

Sementara itu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) meraih tempat ketiga selepas mengatasi Silversticks dengan jaringan besar 7-0 pada penentuam tempat ketiga dan keempat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI