HANOI – Dua wanita di Vietnam dianggap luar biasa kerana badan mereka mengeluarkan bau wangi seperti bunga secara semula jadi, laporan portal berita Oddity Central kelmarin.
Dang Thi Tuoi yang merupakan seorang tukang jahit di wilayah Sóc Trăng mendapati badannya mengeluarkan bau harum ketika dia menggosok badannya selepas menjalani hari yang sibuk.
‘’Pada waktu siang, anda perlu menggosok tangan saya jika mahu menghidu aroma itu, tetapi orang sekeliling dapat menghidunya beberapa meter dari badan saya hanya pada waktu malam,’’ jelas Dang dalam klip video di saluran YouTube ‘Doc La Binh Tuong’.
Dang turut mendakwa bahawa beberapa bahagian badannya lebih wangi daripada yang lain malah baunya akan lebih kuat pada waktu malam berbanding siang.
Semasa kitaran haidnya, keamatan bau berkurangan kira-kira 10 peratus, tetapi paling kuat pada waktu bulan mengambang atau hari pertama dalam kalendar lunar.
Selepas rakaman itu mencatatkan lebih 1.7 juta tontonan, saluran Doc La Binh Tuong dihubungi seorang lagi wanita dari wilayah Kien Giang bernama Dung La yang mengalami kejadian serupa.
Kedua-dua wanita itu tidak dapat menjelaskan mengapa badan mereka mengeluarkan wangian seperti minyak wangi. – Agensi