OTTAWA, KANADA – Seorang doktor mendedahkan mengenai sebuah kes kehamilan luar rahim yang luar biasa, di mana janin membesar di dalam hati seorang wanita, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menurut pakar pediatrik dari Institut Penyelidikan Hospital Kanak-Kanak Manitoba, Michael Narvey, kes luar biasa itu dialami seorang pesakit berumur 33 tahun yang mempunyai sejarah kitaran darah haid selama 14 hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa terdapat janin sedang membesar dalam hati wanita tersebut.
“Dia mengalami kehamilan ektopik. Kehamilan seperti ini kadang kala berlaku pada abdomen dan tidak pernah berlaku pada hati. Ini merupakan kes pertama seumpamanya buat saya,” kata Narvey menerusi satu hantaran di TikTok.
Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan berada di luar rahim, kebiasannya pada satu daripada tiub fallopio.
Sekiranya telur tersekat di dalam tiub fallopio, ia tidak akan membesar menjadi bayi dan amat sukar untuk menyelamatkan kehamilan tersebut.
Sementara itu, kehamilan abdomen adalah sejenis kehamilan ektopik yang berlaku apabila telur keluar dari tiub fallopio dan memasuki abdomen.
Menurut beberapa laporan, dalam kes seperti itu, doktor kebiasaannya memilih untuk menyelamatkan nyawa ibu berbanding janin yang sukar diselamatkan.– AGENSI