fbpx

‘Tak sempat bawa apa-apa, air naik sampai bumbung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norizan hanya mampu melihat rumah yang diduduki sejak lebih 20 tahun ditenggelami banjir menghampiri paras bumbung. /FOTO NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang warga emas hanya mampu melihat rumah yang diduduki sejak lebih 20 tahun lalu ditenggelami air hingga menghampiri paras bumbung di Kampung Lubuk China, di sini, pagi tadi.

Norizan Johan, 67, berkata, rumahnya itu sememangnya sudah biasa dimasuki air namun sebelum ini hanya mencecah paras lutut dan paling buruk adalah 1.5 meter.

Walau bagaimanapun banjir kali ini lebih teruk apabila air mencecah paras bumbung iaitu melebihi tiga meter sejak pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Saya tinggal seorang diri jadi tak sempat nak selamatkan apa-apa barangan dan hanyabawa dokumen penting. Saya tumpang tidur di Masjid Kariah Lubok China sementara menunggu pagi dan air surut.

“Sehingga pukul 9.30 pagi rumah saya masih ditenggelami air. Saya tak tahu hendak berpindah ke mana. Kalau percuma okay kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap sekarang ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubok China, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, keadaan banjir di perkampungan itu adalah yang terburuk sejak 1971.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rembau, Mohamad Najib Mustafa memberitahu, sehingga pukul 10 pagi ini, sebanyak 13 buah rumah terjejas melibatkan dua buah kampung di Pilin dan Lubuk China.

Menurutnya, tiada pusat pemindahan sementara dibuka memandangkan majoriti mangsa banjir berpindah ke rumah saudara terdekat. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI