PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa kesemua sekolah di negeri yang terlibat banjir sudah bersedia untuk dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kesiapsiagaan itu bukan isu baharu cuma kali ini ia bertambah ketat dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang kes Covid-19.
“Insya-Allah kementerian akan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi pusat dan negeri malah pihak sekolah di kawasan terbabit sudah biasa melakukan persiapan rapi,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Putrajaya 2021 di sini hari ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu anjuran bersama Perbadanan Putrajaya dan Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) dengan tajaan daripada Felet (Malaysia) Sdn. Bhd yang turut dihadiri Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang juga Presiden PjBA, Datuk Seri Khairuddin Samad serta Pengarah Urusan Felet, Datuk Teo Tong Wah.
Media melaporkan ketiga-tiga negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia selain di Lembah Klang sudah mengalami banjir susulan hujan lebat berterusan sempena musim tengkujuh.
Mengulas lanjut, Radzi yakin pihak pentadbiran sekolah terlibat sebagai PPS sudah bersedia melakukan persiapan terbaik bagi menerima ramai mangsa bencana yang diarah berpindah.
“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar sejak semalam saya sudah menerima laporan telah ada sekolah diubah kepada PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas rumah mereka,” katanya.
Bahkan, beliau bersyukur kerana keadaan agak terkawal memandangkan ketika ini cuti akhir tahun manakala peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mula berlangsung awal Mac tahun depan. -K! ONLINE