KUCHING- Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyifatkan kemenangan gabungan parti itu sebagai hadiah buat rakyat Bumi Kenyalang.
Menurutnya yang juga Ketua Menteri Sarawak, kemenangan tersebut membolehkan Sarawak berdiri sama rata dengan kemajuan di Semenanjung.
“Rakyat telah memberi mandat kepada kita, Sarawak akan diutamakan, ‘Sarawak first’.
“Kemenangan ini juga merupakan isyarat daripada rakyat bahawa kestabilan politik penting bagi meneruskan agenda pembangunan di Bumi Kenyalang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman kemenangan GPS di sini tadi.
Katanya, mandat diberikan rakyat juga merupakan satu kuasa buat GPS bagi meneruskan pembangunan ekonomi yang mampan selain mengutamakan kebajikan sosial rakyat.
“Ia juga (kemenangan) satu isyarat tentang pentingnya kemakmuran semua kaum dalam pembangunan ke arah Sarawak 2030 tanpa mengira perbezaan etnik dan budaya.
“Terima kasih kepada semua rakyat Sarawak kerana memberikan keyakinan kepada GPS untuk terus memerintah negeri ini kearah lebih cemerlang,” jelasnya.
GPS berjaya membentuk kerajaan negeri Sarawak apabila memperoleh majoriti mudah sebanyak 45 kerusi setakat pukul 9 malam tadi. -K! ONLINE