KUCHING – Proses pengundian sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) hari ini dilihat sedikit terganggu selepas beberapa kawasan di negeri ini mula dilanda hujan bermula awal tengah hari tadi.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan sekitar Kuching, Bau, Serian dan Santubong mendapati hujan mulai turun kira-kira pukul 12 tengah hari serta berlarutan hingga kini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan kebanyakan kawasan di Sarawak cerah pada sebelah pagi namun berlaku ribut petir pada sebelah petang.
“Ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman diramal berlaku pada waktu petang manakala hujan di satu dua tempat di kawasan pedalaman akan berlaku sebelah malam,” jelasnya.
Ketika ini, peratusan keluar mengundi mencatatkan sebanyak 44 peratus setakat pukul 1 tengah hari tadi. -K! ONLINE