KOTA TINGGI – Pencarian hari keempat operasi menyelamat bot karam yang dinaiki pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tanjung Balau di sini diteruskan dengan melibatkan dua pesawat udara daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
APMM dalam kenyataan memaklumkan, operasi turut melibatkan empat aset laut daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Katanya, sektor pencarian udara hari ini diperluaskan kepada 76.5 batu nautika persegi dan 106.02 batu nautika persegi bagi pencarian di laut.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pencarian setakat ini seluas 182.5 batu nautika persegi meliputi Tanjung Balau hingga ke Sungai Rengit.
“Sehingga pukul 8.00 pagi ini, tiada penemuan baharu direkodkan selepas penemuan satu mayat pagi semalam.
“Jumlah mangsa yang disyaki hilang masih kekal 16 orang. Pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh agensi sahabat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM dan juga Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya hari ini.
Tambahnya, jumlah keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan laut adalah seramai 77 orang.
Katanya, pencarian di laut masih berhadapan kesukaran berikutan cuaca kurang baik masih berterusan dengan ombak besar setinggi tiga hinga lima meter yang turut menghalang jarak penglihatan. -K! ONLINE