LONDON – Dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, makin banyak kelab mendesak supaya aksi Liga Perdana Inggeris ‘ditutup’ buat sementara sehingga tahun baharu.
Pihak pengurusan Liga Perdana Inggeris dilaporkan sudah pun dimaklumkan tentang peningkatan kes jangkitan yang kini membabitkan varian Omicron.
Ketika ini, walaupun sedar situasi jangkitan Covid-19, pihak penganjur tetap mahu meneruskan perlawanan seperti dijadualkan sambil menjelaskan aspek kesihatan kekal menjadi keutamaan mereka.
Bulan ini, sembilan aksi liga sudah pun ditangguhkan termasuk pertemuan Manchester United dan Brentford serta perlawanan menentang Brighton yang sepatutnya berlangsung hari ini.
Sumber juga memaklumkan, United kini hanya ada sembilan pemain daripada skuad utama yang bebas jangkitan, manakala Brighton tinggal tujuh pemain yang boleh beraksi.
Bagaimanapun, isu yang menghimpit ekoran penangguhan sementara ini adalah berkaitan dengan gangguan jadual penyiaran dan berdepan hukuman penalti.
Pengurus Brentford, Thomas Frank yang berdepan masalah jangkitan dalam kalangan pemainnya turut menuntut perlawanan hujung minggu ini ditangguhkan.
“Kami fikir kesemua perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini perlu ditangguhkan. Kes Covid-19 makin meningkat di banyak kelab dan semua orang sedang berdepan dengan masalah ini.
“Penangguhan ini memerlukan tempoh sehingga seminggu atau empat dan lima hari bagi memastikan pasukan dan pusat latihan bersih dan benar-benar bebas daripada wabak berkenaan.
“Ia sangat penting kerana usaha ini adalah bertujuan bagi memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.
Saingan hujung minggu ini menyaksikan lima perlawanan EPL terpaksa ditangguhkan melibatkan aksi United menentang Brighton, West Ham United berdepan Norwich City dan Watford menanti kunjungan Crystal Palace.
Dua lagi perlawanan yang terlibat adalah Southampton menghadapi Brentford di St. Mary, sementara aksi di Goodison Park melibatkan Everton dan Leicester City juga terpaksa ditunda ekoran masalah yang sama. – AGENSI