BACHOK – Seorang lelaki dipercayai pesakit mental ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan sehelai kain pelekat pada bahagian tingkap rumahnya di Kampung Takang, Tawang di sini hari ini.
Kejadian itu disedari oleh ibu mangsa selepas dia masuk ke dalam bilik untuk mengajak mangsa yang berusia 26 tahun makan sarapan kira-kira pukul 9.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati, ibunya yang berusia 54 tahun mendapati mangsa tiada di atas katil sebelum melihat lelaki itu tergantung pada bahagian tingkap.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa membunuh dirinya dengan menggunakan sehelai kain pelekat.
“Menyedari kejadian itu, wanita itu kemudian memanggil suaminya dengan bantuan jiran membantu menurunkan mangsa.
“Ibu mangsa terus menghubungi Klinik Kesihatan Beris Panchor di sini untuk membantu mengesahkan kematian anaknya itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohamad Ismail, ujian saringan yang dijalankan oleh Penolong Pegawai Perubatan mendapati mangsa negatif jangkitan Covid-19.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Tambahnya, siasatan kematian mangsa masih belum selesai dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE