KUANTAN – Tindakan seorang lelaki terjun ke dalam sungai dalam keadaan sungai yang berarus deras membawa padah apabila dia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Belat dekat Sri Damai di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa Mohd. Firdaus Supiardi, 26, datang ke lokasi kejadian menaiki motosikal.
“Setiba di jambatan mangsa telah memberhentikan motosikal dan terus bertindak terjun ke Sungai Belat.
“Menurut saksi mangsa dilihat cuba berenang ke tepi sungai namun gagal disebabkan arus sungai yang deras dan mangsa dikhuatiri lemas,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya pada masa ini operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan melibatkan polis dan bomba yang melakukan rondaan di sepanjang tebing Sungai Belat yang masih berarus deras.
Katanya, mangsa masih belum ditemukan dan polis masih menyiasat punca mangsa terjun ke dalam sungai. – K! ONLINE