fbpx

Jadi janda pada usia muda, Nadia Brian tetap bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIA BRIAN

NAMA Nadia Brian antara yang meledak sekitar awal tahun ini. Semuanya disebabkan konflik rumah tangga bersama bekas suami.

Setelah lebih tiga bulan tidak tinggal sebumbung dan tiada sefahaman, Nadia akhirnya akur dengan perpisahan yang membawa kepada perceraian dalam perkahwinannya awal Mei lalu.

Bagi Nadia, perpisahan merupakan jalan terbaik buatnya dan suami meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya akui kami memang tiada sefahaman. Kami sudah cuba untuk pertahankan hubungan ini tetapi tidak boleh. Mungkin jodoh kami setakat itu sahaja.

“Jadi biarlah kami berpisah dalam keadaan baik. Kami tidak mahu ada apa-apa dendam kesumat yang tersimpan antara kami.

“Yang lepas kami jadikan pengajaran bersama,” kata Nadia memulakan bicara bersama HibGlam.

Lebih bermakna

Bagi aktres Bu dan Ratu Kala Jengking itu, hidupnya kini semakin bahagia dan bermakna walaupun bergelar janda pada usia muda.

“Alhamdulillah, selepas melalui episod jerih itu, kehidupan saya yang sekarang ini lebih bahagia dan terisi.

“Saya banyak habiskan masa dengan kehidupan sendiri dan kerja-kerja yang saya cintai.

NADIA mengakui kegagalan hidup berumah tangga menjadikan dirinya sebagai wanita yang lebih matang. 

“Penat ke gimnasium, saya ke set untuk penggambaran dan selebihnya bersama keluarga dan rakan-rakan tercinta.

“Hidup saya lebih bebas kini. Bukan bermaksud saya boleh lakukan apa-apa sahaja perkara yang di luar kawalan, tetapi apa yang saya mahu sampaikan, saya gembira jalani hidup yang sekarang,” katanya.

Meneruskan perbualan, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi memberitahu, dia bukan sengaja mahu menyibukkan diri demi menutup kesedihan lampau.

“Apa yang sudah berlalu, biarlah berlalu.

“Jujurnya, awal-awal selepas berpisah dahulu, saya memang down (jatuh) dan bagaikan hilang arah.

“Saya rasakan kehidupan saya bagaikan musnah sekelip mata. Tapi perlahan demi perlahan, saya bangkit sekali gus cuba untuk melupakan apa yang berlaku.

“Di penghujungnya, saya boleh lakukan dan jadi kuat kembali,” ujarnya.

Tak serik

Kata Nadia, menyibukkan diri dengan apa jua perkara yang digemari dan menyeronokkan merupakan satu cara terbaik untuk membantunya ‘membasuh’ luka dan merawat kudis lama.

Meneruskan perbualan, pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu memberitahu, apa yang berlaku tidak sedikit pun meninggalkan rasa serik untuknya kembali menjalani kehidupan berumah tangga jika sudah sampai waktunya nanti.

Jelas Nadia, jika ternyata perkara tersebut sudah ditakdirkan Allah, dia pasti akan akur.

JIKA sudah ditakdirkan bertemu lelaki yang tepat, Nadia mengakui tidak serik untuk kembali berumah tangga dan bergelar isteri walaupun baru sahaja bercerai tidak sampai setahun.

Sebagai seorang wanita, dia masih memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada seorang insan bergelar lelaki dalam hidupnya walaupun pernah melalui episod duka dalam perkahwinan terdahulu.

“Nak kata serik, tidak juga. Mana tahu kalau saya bertemu jodoh pada tahun hadapan dan berumah tangga. Saya sedia untuk itu.

“Soal jodoh kita tidak akan tahu. Itu rahsia Dia. Lagipun saya seorang perempuan. Siapa yang tidak mahu berkahwin dan ada teman dalam hidup,” ujarnya.

Bangga

Bercakap tentang perkembangan karier, Nadia yang tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) menerusi filem Bu baru-baru ini, dia berbangga apabila tercalon hasil daripada lakonan sulungnya ketika mula-mula menyertai gelanggang glamor kira-kira lima tahun lalu.

Jelas Nadia, meski hanya tercalon dan nasib tidak menyebelahinya, dia tidak pernah patah semangat, sebaliknya bersyukur apabila layak menyertai senarai pencalonan akhir.

WANITA berusia 30 tahun ini bangga apabila turut tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Filem Terbaik FFM31 impak naskhah pertama lakonannya, Bu.

“Ini filem sulung saya semasa awal-awal terlibat dalam dunia lakonan. Nama tercalon pun saya dah sudah cukup merasa bangga walaupun tiada rezeki untuk menang.

“Jujurnya, saya bangga dengan diri sendiri.

“Saya tahu bukan mudah untuk seseorang pelakon menembusi dan dipertandingkan dalam mana-mana anugerah berprestij negara seperti FFM.

“Situasi ini juga secara tidak langsung jadi penguat semangat untuk saya supaya lebih berusaha dan melakukan yang terbaik dalam setiap apa yang saya lakukan. Terutamanya dalam aktiviti lakonan pada masa mendatang,” tutur pelakon itu sekali gus menoktahkan kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI