PETALING JAYA – Amaran cuaca peringkat merah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang hari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, untuk Selangor, antara kawasan yang terlibat dengan amaran cuaca terbabit adalah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Kuala Langat.
Bagi Kuala Lumpur pula, ia melibatkan keseluruhan daerah di negeri ini.
Menurut MetMalaysia, bagi amaran cuaca peringkat merah, hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku.
Dalam kenyataan sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat jingga di Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Di Perak ia melibatkan kawasan Hilir Perak dan Muallim, manakala bagi negeri Kelantan ia membabitkan daerah Gua Musang.
Bagi negeri Pahang pula, ia melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Maran dan Kuantan.
Untuk Selangor, ia membabitkan kawasan Sepang, Negeri Sembilan (Jelebu) dan seluruh Putrajaya.
Amaran cuaca ini akan menyebabkan hujan lebat berterusan sehingga esok. -K! ONLINE