PELUMBA pasukan Tuneboss-Pink Racing, Mohd. Harith Farhan Baharin melakar kejutan apabila menempah petak hadapan menjelang perlumbaan pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 di Litar Sepang (Selatan) hari ini.
Pada saingan kelayakan CP125 yang berlangsung dalam keadaan litar basah semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu memastikan petak hadapan menjadi miliknya apabila melakukan catatan masa terpantas 1:30.715 saat (s).
Kejayaan itu memastikan Harith berjaya merealisasikan hasratnya untuk berada di petak hadapan, sekali gus mencerahkan peluang untuk menaiki podium pada perlumbaan hari ini.
“Sudah tentu saya sangat gembira untuk menyambar petak hadapan pada perlumbaan esok (hari ini) kerana ia bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam keadaan litar basah.
“Akhirnya impian saya untuk memulakan perlumbaan di petak hadapan tercapai. Sudah tentu ia sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk saya beraksi pada Sabtu dan Ahad ini,” katanya.
Dalam pada itu, Harith turutmenyasarkan kedudukan podium pada perlumbaan pusingan kesembilan dan ke-10 musim ini memandangkan dia pernah menyatakan keinginan mahu berada dalam kelompok lima pelumba terbaik keseluruhan.
Harith dilihat berpeluang untuk mencapai sasaran itu kerana ketika ini dia berada di kedudukan kelapan keseluruhan selepas mengumpul 67 mata.
“Menjelang dua perlumbaan terakhir, saya tekad untuk menaiki podium. Saya tidak kisah kedudukan berapa sekalipun, asalkan saya boleh tamatkan perlumbaan di atas podium.
“Jika tercapai, ia boleh membantu saya untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima pelumba teratas. Saya fikir ia bukanlah perkara mustahil berdasarkan prestasi semasa jentera kami,” ujarnya.