PELBAGAI punca menyumbang kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga antaranya cemburu, tiada persefahaman, sudah tiada kasih sayang dan bermacam-macam alasan yang kadang kala tidak masuk akal.
Fasa pandemik menyaksikan perceraian meningkat apabila merekodkan 66,000 kes.
Antara faktor yang menyumbang kepada penceraian adalah sikap suami yang tidak bertoleransi apabila melarang pasangan bekerja dan menggunakan agama sebagai alasan.
Tidak kurang juga ada yang terpaksa mengambil keputusan itu kerana masalah penjagaan anak-anak selain harga yuran tinggi dikenakan pusat jagaan.
Menurut Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh, di sebalik pelbagai faktor itu, ada jalan yang terbuka luas untuk pasangan suami isteri mencari kata sepakat bagi mengelakkan berlakunya perpisahan.
“Yang penting, suami isteri kena hadir kaunseling dan berbincang secara harmoni sebab lelaki ego. Mungkin pada awalnya suami janji macam-macam, beri nafkah setiap bulan tapi sudahnya, apa pun tak ada.
“Jadi perlunya perbincangan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik. Kewangan jadi punca utama perceraian. Hutang kereta, rumah ditambah pula kenaikan harga barang ketika ini,” katanya.
Selain sesi kaunseling, kaum suami juga perlu berubah dan mesti pandai melayan dan menjaga hati isteri.
“Dalam keadaan sekarang, suami boleh saja bagi isteri bekerja, tak salah pun. Cuma suami kena sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga anak-anak.
“Sebab banyak berlaku kes, ada sesetengahnya apabila pulang ke rumah, tak nak ambil tahu langsung hal rumah tangga. Situasi sebegini membuatkan isteri penat dari segi mental, emosi apatah lagi fizikal,” ujarnya.
Tambah Hushim, peranan suami dalam menyenangkan hati isteri sangat besar apatah lagi jika mereka tidak keluar bekerja dan hanya menumpukan perhatian terhadap pengurusan rumah tangga dan anak-anak.
Jika tidak, keadaan tersebut boleh mengundang kepada berlakunya perpisahan dan tidak mustahil berlaku kecurangan kerana tiada komunikasi antara suami isteri.
“Kebanyakan kes cerai yang berlaku disebabkan tiada komunikasi. Ada yang tak membenarkan isteri bekerja kerana kurang percaya atau cemburu. Sedangkan harus diingat, kecurangan boleh berlaku di mana-mana melalui telefon pun boleh.
“Misalnya isteri duduk di rumah bosan, aktif di media sosial dan berkawan dengan orang lain dan akhirnya curang.
“Sebab itu suami kena pandai ambil hati isteri dan berkorban sedikit untuk keluarga. Paling penting jangan berkira. Ada kes berlaku, apabila isteri minta duit, kata tiada sebab alasan pandemik. Tapi apabila isteri nak minta bekerja, tak diberi kebenaran pula,” kata Hushim.
Justeru ujar Hushim, suami isteri perlu duduk berbincang dan menghadiri kaunseling bagi mencari penyelesaian.
Tambah beliau, kaunseling tidak terhad kepada golongan suami isteri sahaja bahkan lebih digalakkan buat mereka yang bakal melayari bahtera perkahwinan.
“Sebelum kahwin, bakal pengantin perlu datang hadiri kaunseling untuk belajar. Kursus kahwin dianjurkan selama dua hari sahaja, tak cukup untuk mendalami ilmu rumah tangga. Nanti sudah kahwin, baru tahu perangai sebenar. Itu yang boleh mencetuskan konflik,” ujarnya.